Hari - Hari Terakhir Rasulullah Sallallahu alaihi wassalam

Friday, February 26, 2010 0 comments

HARI TERAKHIR DALAM HAYAT BAGINDA

Anas bin Malik meriwayatkan katanya: Sekalian kaum muslimin yang sedang bersolat Subuh di belakang Abu Bakr di hari Isnin itu dikejut oleh kemunculan Rasulullah dari sebelah tabir bilik Aisyah sedang jemaah bersembahyang. Baginda melihat dan memberi senyumannya, Abu Bakr pun berundur ke belakang untuk menyertai saf di belakang, kerana beliau menyangka Rasulullah hendak keluar bersembahyang. Kata Anas lagi: Hampir-hampir sidang jemaah terpesona dengan solat mereka kerana gembira melihat Rasulullah (s.a.w) namun Baginda memberi isyarat kepada mereka supaya meneruskan sembahyang. Lepas itu Baginda melepaskan tabir dan masuk ke dalam. Selepas itu Rasulullah (s.a.w) tidak berkesempatan lagi untuk bersembahyang lima waktu yang lain.

Semasa siang semakin cerah Rasulullah (s.a.w) menjemput Fatimah dan membisik kepadanya sesuatu, menyebabkan beliau menangis, lepas itu Baginda memanggil Fatimah dan membisik kepadanya sesuatu menyebabkan Fatimah tersenyum, kemudian Aisyah berkata: Kami pun bertanya apa ceritanya?. Jawab Fatimah: "Baginda membisik bahawa Allah akan menjemputnya melalui sakit yang Baginda alami ini, itulah yang membawa aku menangis, pada kali kedua Rasulullah (s.a.w) membisikkan bahawa daku ahli keluarganya yang diwafatkan Allah selepas Baginda, itulah yang menyebabkan daku tersenyum".

Selain dari itu Rasulullah (s.a.w) juga memberi khabar gembira (tabsyir) kepada Fatimah bahawa beliau adalah Syayyidah Nisa' al-'Alamin (Penghulu Wanita Dunia). Fatimah melihat beban kesakitan terlalu berat dialami oleh Rasulullah (s.a.w). Beliau berkata: "Alangkah berat siksa bapa". Jawab Rasulullah (s.a.w): "Tiada siksa lagi bagi bapamu selepas hari ini".

Di saat ini Rasulullah (s.a.w) memanggil al-Hasan dan al-Husain dan Baginda mencium kedua duanya sambil berwasiat kepada mereka berdua dengan kebaikan, kemudian Rasulullah menjemput isteri-isterinya, menasihati dan memperingatkan mereka.

Kesakitan semakin bertambah, dan kesan racun yang Baginda termakan di hari Khaibar boleh dilihat, menyebabkan Rasulullah berkata: "Wahai Aisyah kini aku masih terasa sakit kesan makanan di hari Khaibar dahulu, inilah masanya aku mendapati nafas ku sesak terputus-putus kerana kesan racun itu". Rasulullah mewasiatkan orang ramai dengan sabdanya:

"Solat, solat dan berbuat baiklah kepada hamba sahaya milik kamu". Baginda mengulangi ungkapan ini berkali-kali.

NAZAK

Saat nazak mendatangi Rasulullah (s.a.w), dan Aisyah bertindak membiarkan Rasulullah (s.a.w) bersandar kepadanya. Hal ini beliau ceritakan dengan katanya: "Sebenarnya di antara nikmat anugerah Allah ke atas ku di mana Rasulullah meninggal di rumahku, di hari giliran ku di antara dada dan leherku, dan mencantumkan di antara liur ku dan liur Baginda semasa kewafatan Baginda.

Sebelum itu Abdul al-Rahman bin Abu Bakr telah masuk ke bilik beliau dengan memegang kayu suginya, dan aku membiarkan Rasulullah (s.a.w) bersandar, kulihat Rasulullah (s.a.w) memerhati ke arahnya, ku sedar bahawa Rasulullah (s.a.w) suka dan hendakkan siwak (sugi) tersebut. Justeru aku bertanya: Mahukah ku ambil untukmu Rasulullah? Rasulullah (s.a.w) pun mengangguk kepalanya, kemudian ku berikan siwak kepada Baginda, tetapi ianya keras sedikit dan ku berkata: Biarkan ku lembutkannya? Baginda menganguk kepalanya, dengan itu ku pun melembutkannya, maka Rasulullah (s.a.w) pun bersugi dengannya". Dalam satu riwayat lain bahawa Baginda bersugi dengan sepuas-puasnya, pada masa itu terdapat sebuah bijana di hadapan Rasulullah berisi air di mana Baginda memasukkan tangannya untuk menyapukan air ke mukanya sambil berkata yang bermaksud: "Sebenar kematian ini ada sakarahnya" - al- Hadith.

Tidak berapa lama selepas Baginda selesai menyugi giginya, Rasulullah pun mengangkat tangannya ke langit atau jarinya diikuti dengan renungan matanya ke atas, disusuli dengan gerakan bibirnya. Aisyah telah mendengar ungkapan terakhir yang dilafazkan oleh Rasulullah (s.a.w) seperti berikut :

Bersama-sama dengan mereka yang telah Engkau kurniakan dan golongan para nabi, siddiqin, syuhada' dan salihin, Ya Allah Ya Tuhanku ampunilah daku dan kasihanilah daku, letakkanlah daku dengan Kekasih yang Tertinggi, Ya Allah Ya Tuhanku Kekasih yang Tertinggi.

Baginda mengulangi lafaz yang terakhir sebanyak tiga kali dan tangan Baginda pun layu turun ke bawah, maka Baginda pun terus bersama Kekasih Yang Tertinggi. "Sesungguhnya kita ini bagi Allah dan sesungguhnya kepadaNya kita semua kembali".

Peristiwa kewafatan Rasulullah ini berlaku ketika pagi sudah meningkat di hari Isnin dua belas (12) Rabiulawwal tahun kesebelas (11) Hijrah di waktu usia Rasulullah genap enam puluh tiga (63) tahun dan empat (4) hari.

KEPILUAN MENYELUBUNGI PARA SAHABAT

Kini berita kewafatan Rasulullah yang memilukan itu tersebar luas, suasana muram menyelubungi persada Madinah dan cerok daerahnya, kata Anas: "Tidak pernah ku melihat satu hari lebih ceria dan bercahaya dari hari kedatangan Rasulullah (s.a.w) ke Madinah dan tidak pernah pula ku lihat satu hari yang lebih buruk dan muram dari hari kewafatan Rasulullah (s.a.w)".

Selepas wafatnya Rasulullah (s.a.w) puteri Baginda, Fatimah (r.a) telah mengucapkan suatu ungkapan: "Duhai ayahku, kau menyahut seruan Tuhanmu, duhai ayahku, syurga al-Firdaus kesudahanmu, duhai ayahku, kepada Jibril jua kami bertakziah mengenai kewafatanmu"

SIKAP UMAR

Di hari itu Umar telah berdiri di hadapan khalayak ramai dan mengikut riwayat menceritakan bahawa beliau telah terkeluar dari kewarasannya dengan berkata: "Sebenarnya terdapat beberapa orang munafiqin telah menyebut bahawa Rasulullah telah wafat, sesungguhnya Rasulullah (s.a.w) tidak wafat, cuma beliau pergi menemui Tuhannya seperti Musa bin Amran pergi menemui Tuhannya, Musa menghilang diri untuk selama empat puloh malam, kemudian Baginda pulang semula setelah orang berkata, yang Musa telah mati. Demi Allah, Rasulullah (s.a.w) pasti akan pulang semula, sesiapa yang menyangka bahawa Rasulullah (s.a.w) telah wafat mesti dipotong tangan dan kaki-kaki mereka.

PENDIRIAN ABU BAKR

Abu Bakr memecut kudanya, berlari dari rumahnya di al-Sanh, sesampainya ke perkarangan masjid beliau terus masuk ke dalam masjid. Tanpa bercakap sepatah pun dengan orang ramai beliau memasuki bilik Aisyah menuju ke tempat Rasulullah yang sedang berbaring ditutupi dengan kain. Beliau membuka tutupan muka Rasulullah (s.a.w, terus memeluk dan mencium muka Rasulullah sambil menangis dan berkata: "Demi dikaulah ibu ayahku, Allah tidak akan mengenakan kau dua kematian, adapun kematian yang ditulis ke atas mu ini sudah kau hadapinya".

Setelah itu Abu Bakr dan Umar keluar menemui orang ramai, di mana Abu Bakr berkata: "Wahai Umar sila duduk" Namun Umar enggan untuk duduk. Orang ramai pun melingkungi Abu Bakr dan membiarkan Umar di situ. Abu Bakr berucap kepada sidang hadirin dengan katanya:

"Adapun selepas tahmid dan syukur maka ingin ku menyebut di sini, sesiapa di antara kamu yang menyembah Muhammad sesungguhnya Muhammad telah mati dan sesiapa yang menyembah Allah maka sesungguhnya Allah itu hidup dan tidak akan mati ".

Kemudian beliau membaca ayat Allah:

"Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul, sesungguhnya telah berlalu sebelumnya beberapa orang Rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (yakni murtad). Maka sesiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur".

(ali-Imran : 144)

Kata Ibn Abas: Demi Allah, di masa itu manusia ramai bagaikan tidak mengetahui bahawa Allah telahpun menurunkan ayat ini kecuali setelah Abu Bakr membacanya, dengan itu orang ramai pun menerima dan membacanya.

Kata Ibn al-Musaiyab: Umar telah menyebut: "Demi Allah, sebaik sahaja aku terdengar apa yang diunggapkan oleh Abu Bakr itu aku terasa kakiku sudah tidak berdaya lagi untuk berdiri, memanglah aku terus terhumban ke tanah sebaik sahaja mendengar apa yang dibaca oleh Abu Bakr itu, kerana aku sudah dipastikan dengan kewafatan Rasulullah".

Begitulah antara riwayat hidup junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wassalam.

Adapun kisah – kisah yang sering kita dengar tentang riwayat terakhir Rasulullah Sallallahu alaihi wassalam yang lain tidak dicatatkan pula di dalam Al – Raheeeq Al - Makhtum. Adalah lebih baik merujuk kepada yang lebih arif sama ada kisah – kisah itu benar mempunyai dalil yang sahih menyokongnya atau ia adalah kisah israiliyat.

Wallahualam.

Sumber :Al – Raheeq Al – Makhtum , Sheikh Safiyurrahman Al – Mubarakfuri

0 comments:

Dengan Nama Allah. Segala puji bagi Allah, kita memujiNya memohon pertolongan dan keampunan daripadaNya, kita berlindung kepada Allah daripada kejahatan diri kita dan kejelekan amalan - amalan kita, barangsiapa yang Allah beri petunjuk, tidak ada yang dapat menyesatkannya, dan barangsiapa yang Allah sesatkan, maka tidak ada yang dapat memberinya petunjuk.

Aku bersaksi bahawa tidak ada yang berhak diibadahi dengan benar kecuali hanya Allah semata, tidak ada sekutu bagiNya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan Allah
There was an error in this gadget

Friends

 

©Copyright 2011 My Life & Love | TNB